PETALING JAYA – Bazar Ramadan di Bandar Tasik Puteri, Rawang menarik perhatian orang ramai dipercayai melibatkan deretan khemah yang banyak serta dipasang dengan susunan memanjang, sekali gus pengunjung perlu banyak berjalan untuk ke setiap gerai.
Menerusi video dimuat naik seorang pengguna TikTok sweetcheesecake9, bazar tersebut dibuat di satu kawasan di Bandar Tasik Puteri dan ia mendapat pelbagai maklum balas orang ramai yang meninggalkan komen berseloroh melihat situasi berkenaan.
“Apa ke panjang nau bazar Ramadan,” menurut kapsyen ringkas oleh sweetcheesecake9.
Dalam pada itu, seorang pengguna TikTok bergurau, bazar Ramadan tersebut boleh membantu pengunjung untuk menguruskan berat badan sepanjang Ramadan.
“Sedar tak sedar dah, tak sengaja briskwalk (senaman jalan laju) 5 kilometer. Alhamdulillah, tiap hari pergi mesti kurus tahun ni,” katanya.
“Dari hujung ke hujung dah 1,000 langkah. Nak patah balik pegi tempat letak kereta, jumlah semua 3,000 langkah. Alhamdulillah puasa pun boleh briskwalk,” komen Ai Leen.
Pengguna Lan Hensem pula memberikan gambaran, bagaimana sekiranya makanan yang hendak dibeli berada di khemah pertama, sedangkan telah berjalan jauh hingga hujung.
“Dah sampai hujung, tiba-tiba makanan yang kita nak tu dekat khemah pertama,” katanya.
Pengguna TikTok Xavier bergurau kesemua gerai di bazar Ramadan itu akan habis dikunjungi bermula puasa pertama hingga 29 Ramadan.
“Dari bazar pertama sampai bazar hujung, masuk puasa ke-29 terus,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
@sweetcheesecake9 lokasi bandar tasik puteri, rawang!!! #fyp #puasa #ramadan ♬ Ramadan Kareem – Megan Yagami














