PETALING JAYA – Tekanan kewangan yang dihadapi sebahagian rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana memaksa mereka menggunakan wang dalam Akaun 3 (Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai persiapan sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Berdasarkan tinjauan, rata-rata pencarum yang ditemui mengakui, wang simpanan yang dikeluarkan daripada Akaun 3 itu menjadi ‘talian hayat’ terutama dalam urusan perbelanjaan dapur dan baju raya.
Malah, ada pencarum menganggap simpanan dalam Akaun 3 itu wajar digunakan bagi mengelak mereka terjerumus kepada hutang berfaedah tinggi.
Di Gua Musang, Kelantan, seorang pekerja swasta, Sumiza Abdullah, 32, berkata, dia mengambil peluang mengeluarkan wang sebanyak RM600 daripada Akaun 3 semata-mata untuk membeli stok barangan dapur untuk sebulan berpuasa.
Katanya, kemudahan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan keluarga menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, ketika kos sara hidup semakin meningkat.
“Sebahagian wang tersebut saya guna untuk beli barangan dapur dan keperluan memasak. Sekurang-kurangnya kami tidak perlu keluar membeli juadah iftar di bazar yang harganya agak tinggi,” katanya.
Sumiza berkata, wang Akaun 3 itu merupakan talian hayat yang paling berguna lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.
“Kebanyakan wang yang dikeluarkan diguna untuk keperluan dan bukannya perbelanjaan yang tidak penting. Meskipun Akaun 3 boleh dikeluarkan setiap bulan, saya hanya menggunakan pada waktu terdesak,” katanya.

Di George Town, Pulau Pinang, guru kontrak dan pensyarah muda antara kumpulan pencarum yang memilih menggunakan Akaun 3 untuk kegunaan bulan Ramadan dan persediaan Aidilfitri.
Rata-rata yang ditemui mengakui, wang caruman yang dikeluarkan itu bertujuan menampung perbelanjaan harian termasuk untuk pembelian barangan dapur, juadah berbuka puasa dan sahur.
Guru Kontrak Perkhidmatan (CoS), Aysraf, 34, berkata, dia memilih mengeluarkan caruman Akaun 3 memandangkan keadaan kewangannya yang tidak stabil selain perlu berulang alik ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah setiap bulan.
Dia yang masih bujang mendakwa, kenaikan harga barangan di pasaran juga antara faktor yang mendesak selain kos perjalanan dan bebanan hutang yang ditanggung.
“Ya, saya sudahpun keluarkan wang caruman dari Akaun 3 untuk membeli barang keperluan sepanjang Ramadan dan ini merupakan kali keenam saya menggunakannya.
“Tindakan ini diambil memandangkan gaji yang diperoleh ada kalanya tidak cukup untuk tampung kos perbelanjaan harian,” katanya.
Pensyarah di sebuah kolej swasta, Zaini, 36, pula berkata, dia memutuskan untuk membuat dua kali pengeluaran daripada Akaun 3 pada bulan ini dan Mac nanti.
“Wang itu digunakan untuk dua perbelanjaan iaitu sebagai persiapan sambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Walaupun jumlah yang saya keluarkan tidak banyak, dapatlah juga tampung perbelanjaan termasuk buat orang tua,” katanya.
Di Shah Alam, Selangor, seorang bekas pekerja pembersihan terpaksa menggunakan Akaun 3 bagi menampung keperluan keluarganya selepas tidak lagi bekerja.
Suhayati Sulaiman, 41, berkata, Akaun 3 dianggap sebagai tabung kecemasan dan kini perlu digunakan terutamanya pada bulan Ramadan.
“Memang saya simpan Akaun 3 untuk kecemasan. Tetapi keadaan sekarang memaksa saya guna untuk keperluan puasa.
“Suami pula hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.
Menurut Suhayati, walaupun belum mempunyai anak, komitmen bulanan termasuk sewa rumah sebanyak RM800, bil utiliti serta barangan dapur yang semakin mahal menyebabkan dia memilih untuk menggunakan wang dari Akaun 3.

Di Melaka, seorang kakitangan hospital swasta, Nor Hamidah Zakwan, 38, mengakui terpaksa mengeluarkan RM500 daripada Akaun 3 sementara menunggu bonus tahunan yang diberikan majikannya.
“Biasanya kalau persiapan raya, saya akan gunakan duit bonus yang diterima pada Januari, tetapi tahun ini syarikat beri pada Mac depan.
“Jadi saya keluarkan wang Akaun 3 supaya masih dapat melakukan persiapan awal.
“Proses pengeluaran yang mudah dan tidak mengambil masa terlalu lama iaitu kira-kira tiga hari untuk kelulusan serta kemasukan terus ke akaun bank pemohon juga membuatkan saya mengambil keputusan itu,” katanya.
Ibu tiga anak, Nurul Hidayah Othman, 41, pula berkata, dia membuat keputusan mengeluarkan sebahagian simpanan Akaun 3 bagi memastikan sambutan raya tahun ini lebih terancang tanpa perlu membuat pinjaman.
“Saya gunakan sekadar perlu sahaja untuk beli pakaian anak-anak dan persiapan asas, sekurang-kurangnya saya tidak perlu berhutang atau guna kad kredit,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan melalui KWSP memperkenalkan Akaun 3 (kini dikenali sebagai Akaun Fleksibel) sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula akaun yang berkuat kuasa mulai 11 Mei 2024.
Tujuan utamanya adalah untuk memberikan fleksibiliti kepada ahli untuk mengakses simpanan bagi kegunaan kecemasan atau keperluan kewangan jangka pendek pada bila-bila masa sebelum mencapai umur 55 tahun.














