KUALA TERENGGANU – Hidupan laut, Portuguese Man of War atau ubur-ubur api yang berbahaya dan berbisa kembali ditemui terdampar di pantai-pantai peranginan di bandar raya ini dan Dungun.
Setakat ini, Portuguese Man of War yang dibawa ombak besar Monsun Timur Laut (MTL) tersebut dijumpai di Pantai Pandak di sini serta Pantai Paka dan Bukit Pelanduk, Dungun.
Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Roswati Md. Amin berkata, orang ramai diingatkan agar tidak menyentuh ubur-ubur beracun tersebut.
“Biarpun sudah tidaK bergerak selepas terdampar di pesisir pantai, ribuan sel penyengat pada tentakelnya masih aktif. Sengatan itu boleh menyebabkan kesakitan yang teruk, pening kepala, kebas, sakit badan serta gangguan pernafasan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau juga menasihatkan pengunjung agar memakai kasut atau selipar ketika berjalan di pantai bagi mengelakkan terpijak spesies tersebut tanpa disedari. – KOSMO! ONLINE














