PETALING JAYA – Pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan perjumpaan dengan pihak Multiracial Reverted Muslims (MRM) bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang.
Ia susulan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh DBKL terhadap reruai Street Dakwah anjuran MRM di Bukit Bintang, semalam.
Menurut DBKL, pihaknya mendapati terdapat pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki yang merupakan kawasan awam.
“Petugas DBKL telah hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat.
“Walau bagaimanapun, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan kepada petugas DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada hantaran di media sosial berhubung tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan di Jalan Bukit Bintang, berhadapan Bangunan Yayasan Selangor semalam.
Sehubungan itu, DBKL telah mengambil tindakan menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa.
Katanya, sepanjang pelaksanaan tindakan tersebut, pihak yang bertanggungjawab masih tidak hadir untuk memberikan penjelasan.
“DBKL ingin menegaskan bahawa semua tindakan penguatkuasaar dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang. Penguatkuasaan ini adalah penting bagi memastikan keselamatan awam.
“DBKL tidak pernah menghalang aktiviti dakwah di ruang awam. Namun, semua aktiviti hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














