PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki sindrom down teruja dapat bertemu bersemuka dan memeluk pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim, sekali gus pengalaman tidak dapat dilupakan dalam hidupnya.
Video remaja sindrom down tersebut memeluk Faisal Halim atau Muhammad Faisal Abdul Halim dirakam seorang pengguna Instagram Faizbahtiar131 dan kemudian dimuat naik kakak remaja tersebut pada Thread Ainasfya.
“Aqil, adik aku sindrom down peminat tegar Faisal Halim. Saya rasa semalam adalah terbaik dalam hidupnya, di mana dia akhirnya dapat jumpa pemain bola sepak kesayangannya. Habis lah dipeluknya orang tu.
“Kau bayangkan, hari-hari dia sebut nama Faisal Halim, rezeki Allah nak kasi dia gembira. Akhirnya dia dapat jumpa bersemuka,” katanya pada hantaran Thread.
Ainasfya berkata, dia dan keluarga sering tertanya-tanya situasi bakal berlaku jika adiknya bertemu Faisal Halim atau mesra dipanggil Mickey.
“Alhamdulillah, Aqil dapat apa yang dia nak. Saya dan keluarga selalu cakap, apa lah jadi kalau Aqil ni dapat jumpa Faisal Halim dan sekarang kami tahu.
“Memang berseri muka Aqil semalam waktu dia balik tu, sengih saja tak berhenti. Terima kasih banyak-banyak Faisal Halim kerana melayannya,” katanya.
Dalam masa sama, Selangor FC turut memuat naik video pada TikTok memperlihatkan Faisal Halim serta rakan pasukan layan bersama-sama melayan Aqil termasuk jurulatih, Kim Pan-gon.
“Seronok adik Aqil dapat sertai pemain. Nanti kita jumpa dekat Stadium MBPJ Ahad ini,” menurut kapsyen video Selangor FC. – KOSMO! ONLINE
@selangorfc Seronok adik Aqil dapat join players 🙌 Nanti kita jumpa dekat Stadium MBPJ, Ahad ni👀 #HariLegasiMerahKuning ♬ original sound – Selangor FC






