KOTA BHARU – Pengendali Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Akmal Rizal Ahmad Rakhli percaya pemainnya, Syafik Ismail akan jadi individu yang lebih matang pada masa akan datang.
Ia rentetan layangan kad merah yang diterima oleh Syafik ketika aksi suku akhir kedua Piala Cabaran menentang Imigresen FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, semalam.
“Dia telah berikan impak yang cukup positif buat pasukan tetapi ini pastinya akan jadi pengajaran berguna buatnya pada masa akan datang. Saya rasa dia pasti akan lebih berhati-hati dalam permainan selepas ini.
“Dalam perlawanan tegang dan besar seperti suku akhir, adakalanya pemain tidak dapat kawal perasaan. Jadi saya harap Syafik akan belajar daripada kesilapannya untuk jadi lebih matang,” katanya.
KTRW FC yang menang 2-1 pada perlawanan semalam berjaya mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir Piala Cabaran selepas menyingkirkan Imigresen FC 4-2 secara agregat.
Di separuh akhir nanti, KTRW FC dijadualkan menentang Penang FC yang mengalahkan satu lagi wakil dari Kelantan, Kelantan Red Warrior 1-0 secara agregat.
Dalam masa sama, Akmal juga akui gembira untuk melihat kualiti dijelmakan oleh bintang import baharu, Enzo Celestine yang kini sudah menledak dua gol buat pasukan.- KOSMO! ONLINE














