fbpx
MOHAMMAD Yusoff (tengah) memeriksa tali pinggang keledar penumpang bas ketika pemeriksaan di Terminal Meru Raya, Ipoh semalam.

Pengarah JPJ menyamar penumpang kesan kesalahan bas ekspres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang pemandu bas ekspres dikesan positif dadah dan 12 notis dikeluarkan sepanjang Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 di Perak sejak Jumaat hingga semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah penumpang tidak memakai tali pinggang keselamatan, memandu di lorong kanan secara berterusan dan tiada pemandu kedua bagi jarak melebihi 300 kilometer (km).

Katanya, kesalahan tersebut dikesan hasil pemeriksaan terhadap 119 buah bas ekspres di depoh dan terminal, selain penyamaran anggota sebagai penumpang kenderaan berkenaan.

“Selain itu, kita turut melakukan ujian saringan air kencing ke atas pemandu bas di terminal dan daripada 80 saringan yang dijalankan, seorang pemandu didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Terminal Meru Raya di sini semalam.

Menurut Mohammad Yusoff, meskipun masih terdapat beberapa kesalahan melibatkan pemandu bas ekspres, tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan mereka semakin baik apabila pemeriksaan rawak sepanjang laluan dari Ipoh ke Pulau Pinang mendapati hanya satu daripada empat kenderaan dikesan melakukan kesalahan.

Beliau berkata, ketiadaan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300km atau empat jam merupakan kesalahan yang dikesan hasil penyamarannya sebagai penumpang bas.

Katanya, kegagalan tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya dan tiga pegawai menyamar sebagai penumpang dan menaiki bas dari Pulau Pinang ke Ipoh bagi memantau secara langsung tahap pematuhan pemandu dan pengguna terhadap peraturan dan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.

“Secara prinsipnya, banyak kenderaan mematuhi perundangan yang ditetapkan, malah pemeriksaan daripada empat kenderaan mendapati hanya sebuah bas melakukan kesalahan iaitu tiada pemandu kedua,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, lapan kenderaan perdagangan dan berat disita kerana berada di atas jalan raya pada waktu yang tidak dibenarkan.

“Selain itu, JPJ Perak turut melaksanakan Op Motosikal dengan memeriksa 1,976 buah motosikal. Daripada jumlah itu, sebanyak 248 buah motosikal diambil tindakan dengan 10 disita.

“Sebanyak 1,109 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya sehingga semalam, dengan kesalahan tertinggi tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar, tidak mematuhi isyarat lalu lintas serta membawa muatan secara berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI