SEPANG – Taktik licik sindiket menggunakan khidmat mel dan kurier untuk mengeksport ganja dan kokain bernilai lebih RM1.4 juta ke Eropah dengan mengikrar bungkusan hadiah berjaya dibongkarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bulan lalu.
Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Zulkifli Muhammad berkata, berdasarkan siasatan, dadah tersebut dipercayai akan dieksport ke dua buah negara Eropah.
Beliau berkata, kes pertama pada 5 Januari lalu membabitkan rampasan dua bungkusan berisi bunga ganja seberat 16.057 kilogram (kg) bernilai RM1.4 juta.
“Satu lagi bungkusan kokain seberat 57 gram bernilai RM11,400 pula dirampas di lokasi sama pada 28 Januari lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, siasatan mendapati, sindiket mengikrar bungkusan tersebut sebagai hadiah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Zulkifli berkata, pihaknya mendapati alamat yang tertera pada bungkusan dadah itu tidak lengkap, sekali gus sukar mengenal pasti identiti sebenar penghantarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














