PUTRAJAYA- Sebuah permis disyaki menyimpan barang kawalan tanpa lesen iaitu 190 tong gas Petroleum Cecair (LPG) di Kajang diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini.
Tindakan itu dijalankan hasil risikan pegawai KPDN Putrajaya berhubung aktiviti penyimpanan barangan kawalan tanpa lesen sah.
Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan di lokasi menemui seorang lelaki dan wanita tempatan yang berperanan sebagai pemandu lori dan pemandu kereta.
“Kita menemui lori Daihatsu membawa 110 tong gas LPG dan terdapat tambahan 80 tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50kg di kawasan pelantar premis tersebut.
“Siasatan awal mendapati bekalan itu diperoleh daripada sebuah syarikat di Semenyih, namun pemeriksaan mengesahkan premis di Kajang ini tidak memiliki lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini.
KPDN menyita kesemua tong gas LPG tersebut bersama lori dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih RM83,000.
“Satu arahan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 dikeluarkan bagi mengemukakan dokumen berkaitan serta pengisytiharan stok barang kawalan,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. KPDN menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat yang ditetapkan.
“Orang perseorangan yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














