fbpx
MUHAMAD FAHMIN, isterinya dan anak bongsu mereka, Farrel ketika ditemui di Taman Nilam, Kulim baru-baru ini. – AZAHAR HASHIM.

‘Mahu derma hati untuk Farrel, tapi apakan daya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Seorang ibu sanggup berkorban apa sahaja termasuk mendermakan sebahagian hati buat anaknya, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana berdepan risiko masalah kesihatan.

Nor Farrel Iman Muhamad Fahmin, 2, disahkan menghidap penyakit biliary atresia atau ke­gagalan fungsi hati selepas dilahirkan pada 9 Mac 2024.

Muhamad Fahmin Hashim, 36, berkata, isterinya, Amirah Selgi, 33, sanggup menjadi penderma hati, namun selepas penilaian pakar dibuat wanita itu didapati mempunyai risiko komplikasi kesihatan sehingga 70 peratus.

Katanya, Farrel yang dilahirkan pada di Hospital Kulim pada awalnya disangka hanya meng­alami penyakit kuning biasa, namun najisnya semakin pucat dan air kencingnya pekat.

“Selepas pemeriksaan lanjut dilakukan, anak saya mempu­nyai masalah serius pada saluran hempedu.

“Farrel kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan menjalani pembedahan ketika berusia 39 hari bagi membuang saluran hempedu yang rosak,” katanya.

Menurut lelaki itu, keadaan anaknya tidak banyak berubah dan Farrel kerap dijangkiti kuman pada hati sehingga dima­sukkan ke wad hampir setiap bulan. Kanak-kanak itu pernah dirawat selama 40 hari di Hospital Kulim sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Sejak April hingga 25 Disem­ber lalu, kami ulang-alik ke HPP kerana Farrel memerlukan pemantauan rapi. Doktor mencadangkan pembedahan pemindahan hati sebagai jalan terbaik,” ujarnya.

Pasangan itu sedang berusaha keras untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shanghai, China yang menelan belanja RM200,000 termasuk kos rawatan, perjalanan dan penginapan.

“Rawatan luar negara kurang berisiko dan mempunyai ramai pakar. Sebagai ibu bapa, kami mahu melihat Farrel membesar seperti kanak-kanak lain. Jadi kami rayu doa dan sokongan semua,” katanya.

Setakat ini Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia berjaya mengumpul sebanyak RM69,000 hasil sumbangan orang ramai menerusi media sosial.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun Maybank pertubuhan itu bernombor 5515 7530 7417 berserta rujukan ‘Bantuan Farrel’ atau Bank Islam Amirah Selgi bernombor 0205-7022-6859-79. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN