BATU PAHAT – Seramai 21,049 orang pekebun kecil sektor Agri Komoditi di dalam negeri Johor telah berjaya menerima bantuan tunai RM2,400 setahun sebagai usaha meringankan beban kos selain memastikan produktiviti serta kesinambungan pendapatan golongan ini dapat dikekalkan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, jumlah itu adalah daripada seramai 29,048 pekebun kecil di negeri Johor yang telah mengemukakan permohonan Budi Agri Komoditi sehingga 31 Januari tahun ini.
Jelasnya, inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan golongan sasar khususnya pekebun kecil terus dibantu dalam menghadapi kenaikan harga barang terutama bagi mereka yang terkesan secara langsung dengan rasionalisasi bahan api diesel.
Katanya, Budi Agri-Komoditi adalah khusus untuk golongan petani, penternak dan pekebun kecil yang berdaftar dan kerajaan amat menyedari bahawa mereka adalah sebahagian tulang belakang kepada ekonomi komoditi negara.
“Budi Agri Komoditi diperkenalkan sebagai langkah proaktif untuk menyokong pekebun kecil yang berdaftar di bawah agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi.
“Saya menyeru kepada pekebun kecil yang berkelayakan mengikut syarat ditetapkan namun masih belum mendaftar agar mengambil peluang dengan membuat permohonan secepat mungkin,” katanya dalam ucapannya merasmikan Program Budi Agrikomoditi Sektor Peladangan di Dewan Sri Sulong di Parit Sulong hari ini.
Menurut beliau, semua pekebun kecil perlu mematuhi syarat kelayakan antaranya warga Malaysia, berdaftar dengan agensi di bawah KPK seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN). – KOSMO! ONLINE














