fbpx
ANWAR Ibrahim (tengah) bergambar bersama pelajar yang menerima Sumbangan Kasih Madani di SMJK Yuk Choy di Ipoh hari ini.

Anwar umum peruntukan RM20 juta untuk SMJKC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf kemudahan sekolah, selaras dengan keperluan semasa.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tersebut merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan asas sekolah bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan kondusif.

“Hari ini sempena Hari Raya Cina, saya ambil kesempatan untuk mengumumkan semua sekolah-sekolah Cina mendapat tambahan (peruntukan) mengikut keperluan sama ada kemudahan asas atau sebagainya.

“Kita berikan tambahan selain daripada RM80 juta yang telah diluluskan sebelum ini, dan sempena menghormati rakan-rakan masyarakat Cina, saya tambah lagi RM20 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih Madani Parlimen Tambun Sempena Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ramadan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di Ipoh hari ini.

Menerusi laporan media pada 5 Januari lalu Anwar ketika Perutusan Tahun Baharu 2026 mengumumkan peruntukan naik taraf sekolah vernakular, dengan RM80 juta diberi kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta pula kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan bahawa disiplin diri dan sikap saling menghormati tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan kaum perlu diterapkan dalam kalangan pelajar sejak peringkat awal.

“Mengapa kita datang ke sekolah? Mengapa wujud sistem pendidikan? Semuanya bertujuan untuk menimba ilmu, agar kita menjadi insan pandai, baik dan pintar selain membentuk disiplin.

“Dan ini juga diterap di sekolah-sekolah. Kita ada pelajar-pelajar Melayu, Cina, India dan Sikh, semua ada di sini. Ingat, kita satu negara, pelbagai warna kulit, kaum dan agama. Bukan untuk bermusuh tapi untuk saling mengenal dan hormat satu sama lain,” katanya.

Tambahnya, sebarang perlakuan buli dan sikap memandang rendah terhadap orang lain harus ditolak kerana ia tidak mencerminkan nilai dan dasar pendidikan yang baik dalam kalangan pelajar.

“Sebab itu saya tidak suka apabila sekolah dibina dengan kemudahan lengkap dan perbelanjaan besar, termasuk penambahan guru serta pendidikan seawal usia lima dan enam tahun, tapi kalau kita hasilkan manusia yang sombong dan tiada akhlak, ia tiada nilai,” katanya.

Pada majlis tersebut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM300 kepada 3,000 pelajar seluruh Parlimen Tambun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI