KAJANG – Siasatan polis mendapati insiden sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki tempatan di kawasan Kampung Sungai Jernih, di sini, hari ini tidak melibatkan unsur gengsterisme mahupun perkauman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima dua laporan berasingan di bawah klasifikasi Seksyen 307/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/365 Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada pertikaian peribadi antara dua pihak berkaitan isu tanah serta laluan lori di kawasan berkenaan.
“Pihak Polis Selangor ingin menegaskan bahawa insiden ini adalah berkaitan perselisihan faham dan sama sekali tidak melibatkan sebarang unsur gengsterisme mahupun perkauman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shazeli berkata, bertindak atas maklumat, dua lelaki ditahan bagi laporan kes pertama iaitu seorang warga tempatan dan seorang warga asing berusia dalam lingkungan 30 hingga 34 tahun.
Katanya, bagi laporan kes kedua, seramai tiga lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 24 hingga 38 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek dalam laporan kes pertama merupakan pengadu bagi laporan kes kedua, manakala pengadu bagi kes kedua pula merupakan suspek dalam kes pertama,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang serta diminta supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam. – KOSMO! ONLINE














