fbpx
Keadaan Md. Lazim yang cedera selepas diserang beruk jantan di Kampung Lubuk Tualang, Sik hari ini.

Warga emas berlumuran darah diserang beruk jantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIK – Seorang lelaki warga emas cedera akibat diserang seekor beruk jantan dalam kejadian di Kampung Lubuk Tualang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, mangsa, Md. Lazim Ahmad berusia lingkungan 70-an luka pada kepala, tangan dan bahagian badan lain.

Menurut anak saudara mangsa, Siti Nor Hafisah Dolah, 54, kejadian berlaku ketika dia dan suaminya sedang sibuk menyiapkan tempahan kuih di bengkel di tepi rumahnya.

“Ketika kami sibuk menyiapkan tempahan kuih, suami saya ternampak bapa saudara berjalan terhuyung-hayang dalam keadaan lesu dari arah rumah jiran pada jarak kira-kira 100 meter.

“Suami saya segera mendapatkan bapa saudara dan terkejut apabila melihat badannya berlumuran darah serta mengalami luka di kepala, tangan dan beberapa bahagian badan lain,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, dengan bantuan jiran berdekatan, mereka membawa mangsa ke Klinik Desa yang terletak berhampiran rumah, namun malangnya petugas klinik tidak dapat memberikan rawatan.

Ujarnya, suaminya kemudian membawa bapa saudaranya itu ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut memandangkan keadaannya semakin lemah.

“Kami tidak mengetahui dari mana beruk jantan itu datang dan punca bapa saudara diserang. Lagipun dia tinggal di Kampung Charuk Tok Pong dan kami tidak sempat bertanya ke mana dia hendak pergi ketika kejadian berlaku.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana keadaan bapa saudara kini stabil selepas menerima rawatan di hospital,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN