PETALING JAYA – MBSB Bank dan Malaysia Rail Industry Corporation (MARIC) telah memeterai satu kerjasama strategik bagi memperkukuhkan ekosistem industri rel Malaysia dengan memajukan inovasi, meningkatkan akses perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada pembiayaan mampan serta mempercepatkan pengkomersialan penyelesaian tempatan.
Melalui kerjasama tersebut, MBSB Bank dan MARIC akan bekerjasama menyokong PKS berkaitan rel, penyedia teknologi dan pembangun penyelesaian melalui pendekatan pembiayaan berstruktur, inisiatif libat urus industri dan usaha pembangunan kapasiti.
Sebagai sebahagian daripada komitmen tersebut, MBSB telah memperuntukkan sehingga RM1 bilion pembiayaan untuk PKS dalam sektor rel, dengan penyelesaian pembiayaan yang direka bentuk bagi menangani realiti industri seperti tempoh projek yang panjang, intensiti modal dan keperluan kelestarian.
Ketua Pegawai Strategi Kumpulan MBSB, Datuk Azlan Shahrim berkata, objektif kerjasama ini adalah untuk membolehkan kedua pihak bekerjasama dan menghadapi cabaran sebenar yang dihadapi oleh ahli.
“Dengan berinteraksi secara langsung bersama pemain industri, kami dapat lebih menghargai titik kesakitan mereka dan membangunkan penyelesaian pembiayaan yang disusun dengan teliti untuk memenuhi keperluan khusus mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azlan menerangkan, kerjasama ini menyelaraskan keupayaan pembiayaan berfokus pembangunan MBSB Bank dengan peranan MARIC sebagai penyelaras industri nasional dan pemangkin inovasi.
Ia menangani cabaran utama yang dihadapi sektor rel, menterjemahkan keupayaan teknikal dan hasil penyelidikan kepada perniagaan yang berdaya maju secara komersial serta boleh dikembangkan terutamanya dalam kalangan PKS yang menjadi tulang belakang rantaian bekalan industri.
Selain itu, melangkah ke hadapan, MBSB Bank dan MARIC menjangkakan kerjasama ini akan menyumbang kepada ekosistem rel yang lebih bersepadu dan bersedia untuk masa depan, menyokong daya saing PKS, mempercepatkan pengkomersialan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab industri rel berasaskan inovasi. -KOSMO! ONLINE














