PETALING JAYA – Para graduan perlu melupakan seketika untuk menerima gaji setimpal dengan kelayakan akademik.
Tinjauan mendapati, rata-rata graduan mengakui sukar mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.
Seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sejarah daripada sebuah universiti tempatan dikenali sebagai Mohd. Zabidi, 32, mengakui, dia gagal memperoleh kerjaya dalam bidang dipelajarinya.
“Selepas tamat pengajian pada 2011, saya bekerja sebagai kerani akaun di sebuah bank dengan gaji bertaraf Sijil Pelajaran Malaysia.
“Beban kerja banyak dan saya rasa kerja tersebut tidak berbaloi dengan gaji yang mereka bayar,” katanya.
Tambahnya, akibat tekanan kerja dengan gaji yang tidak setimpal, dia beralih mencari kerja dalam bidang pengajiannya, namun gagal.
Menurut Mohd. Zabidi, dia kemudian bekerja di sebuah tapak pembinaan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan gaji pokok tidak sampai RM2,000.
“Sehingga kini saya bekerja sebagai pengawal kawalan trafik walaupun gaji tidak setimpal,” katanya.
Ujar Mohd. Zabidi, pada sebelah malam pula, dia bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia untuk menampung kehidupan bersama isteri dan dua anaknya.
Sementara itu, seorang lagi graduan, Mohd. Zaid Razak, 32, berkata, dia kini menjadi kerani di sebuah tapak pembinaan dengan gaji RM2,000 sebulan.
“Kerja itu saya lakukan bagi memenangi hati bakal mentua yang mahu saya bekerja walaupun saya ada pendapatan lima angka sebagai pengusaha barangan bundle,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang kakitangan awam Khairul Ramzi Che Azmi, 37, berkata, dia yang memiliki Diploma Kejuruteraan Elektrik terpaksa bekerja dalam bidang penyiaran.
Katanya, pada peringkat awal, dia tidak yakin untuk memberi perkhidmatan yang baik kerana berbeza dengan bidang pengajian.
“Walaupun gred rendah dengan gaji RM1,800 sebulan, saya terima kerana ia kerja tetap. Saya masih meminati bidang elektrik, namun rezeki saya ditentukan di bidang ini,” luahnya.














