LONDON – Tottenham Hotspur akhirnya mengambil langkah drastik apabila memecat ketua jurulatih, Thomas Frank susulan kekalahan 1-2 kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan Spurs kini semakin menghampiri zon penyingkiran selepas gagal melakar kemenangan dalam saingan EPL sejak lapan perlawanan terakhir sekali gus rekod yang terburuk sejak selepas musim 2008.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Spurs mengesahkan rombakan barisan kejurulatihan terpaksa dilakukan demi memulihkan semula reputasi pasukan.
“Kelab membuat keputusan untuk melakukan perubahan pada jawatan ketua jurulatih pasukan lelaki dengan Frank akan meninggalkan kelab serta-merta hari ini.
“Frank telah dilantik pada Jun 2025 dan kami bertekad untuk memberinya masa serta sokongan yang diperlukan bagi membina masa depan bersama.
“Namun, keputusan dan prestasi semasa telah membawa pengurusan tertinggi membuat kesimpulan bahawa perubahan barisan kejurulatihan perlu dirombak serta-merta,” kata kenyataan tersebut.
Frank yang sebelum ini membimbing Brentford telah membimbing Spurs sejak Jun lepas bagi menggantikan Ange Postecoglou yang dipecat pada musim lalu. – AGENSI














