fbpx
Sekolah Menengah Tumbler Ridge di bandar Tumbler Ridge. - Google Maps

8 hilang nyawa ditembak di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

OTTAWA – Insiden  tembakan di sebuah sekolah di wilayah British Columbia menyebabkan lapan orang terbunuh termasuk penembak, manakala berpuluh-puluh lagi cedera, demikian menurut kenyataan polis Kanada semalam.

Pasukan Polis Diraja Kanada (RCMP) berkata, seorang suspek ditemukan mati, dipercayai berpunca daripada tindakan mencederakan diri sendiri.

Terdahulu, RCMP memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengenal pasti sama ada terdapat suspek kedua dalam insiden tersebut.

Penduduk bandar Tumbler Ridge yang mempunyai populasi sekitar 2,400 orang,  diminta kekal di  rumah sementara anggota polis tambah dikerahkan ke kawasan tersebut dari wilayah berdekatan.

Pejabat Pendidikan Daerah Peace River South memberitahu, tindakan kurungan dan kawalan keselamatan (lockdown)  dilaksanakan di kedua-dua sekolah menengah dan Sekolah Rendah Tumbler Ridge.

Wakil rakyat  Peace River South, Larry Neufeld memberitahu pemberita bahawa sokongan sumber ‘mencukupi’  termasuk RCMP dan ambulans telah dihantar ke komuniti tersebut.

Beliau enggan mendedahkan maklumat lanjut kerana bimbang boleh menjejaskan keselamatan operasi yang sedang dijalankan. 

“Kami faham ada penduduk keluar mencari orang tersayang, namun sekali lagi, tolonglah pulang ke rumah masing-masing dan berlindung di tempat selamat. 

“Beri ruang kepada  RCMP untuk memastikan komuniti yang indah ini kembali selamat,” katanya.

Tumbler Ridge terletak lebih 1,000 kilometer ke utara Vancouver, berhampiran sempadan Alberta.

Laman web kerajaan menyenaraikan Sekolah Menengah Tumbler Ridge mempunyai 175 pelajar dari Gred 7 hingga 12.

Kes tembakan di sekolah  jarang berlaku di Kanada. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN