INDUSTRI sukan elektronik atau e-sukan kini semakin mendapat perhatian sebagai satu cabang pembangunan belia yang berpotensi besar, selari dengan perkembangan teknologi dan gaya hidup generasi muda.
Di Negeri Sembilan, usaha membangunkan ekosistem e-sukan secara tersusun digerakkan oleh Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA) yang diterajui
Presidennya, Abdul Akif Rahim yang juga Tokoh Belia Negeri Sembilan bagi tahun 2020 dan 2024.
Berkongsi dengan K-Remaja, Abdul Akif berkata, visi utama persatuan adalah untuk membina satu ekosistem esports yang tersusun, inklusif dan mampan di peringkat negeri.
Ekosistem tersebut bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan atlet, malah merangkumi penggiat industri, penganjur kejohanan serta sokongan pendidikan dan kerjaya.
“Kami mahu e-sukan dilihat sebagai satu industri profesional, bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia perlu menjadi platform pembangunan bakat belia Negeri Sembilan (NS) secara menyeluruh,” katanya.
Jelasnya, e-sukan menawarkan laluan kerjaya yang lebih luas daripada tanggapan umum masyarakat. Selain menjadi atlet profesional, belia juga berpeluang menceburi bidang pengurusan pasukan, kejurulatihan, pengacaraan atau shoutcaster, pengurusan acara, penghasilan kandungan, pemasaran digital serta pembangunan teknologi.
“Dengan latihan yang betul, disiplin dan sokongan ekosistem yang kukuh, belia mampu membina kerjaya yang stabil dan relevan dengan keperluan industri semasa,” katanya.
Namun demikian, Abdul Akif mengakui bahawa pembangunan industri e-sukan di NS tidak terlepas daripada pelbagai cabaran.
Antara cabaran terbesar ialah persepsi masyarakat yang masih menganggap e-sukan sebagai aktiviti yang tidak mempunyai masa depan yang jelas.
“Selain persepsi, kita juga berdepan kekangan dari segi pendedahan awal, struktur pembangunan bakat dan kesinambungan program.
“Semua ini perlu ditangani secara berperingkat dan konsisten,” jelasnya.
Berkongsi tentang sudut operasi, persatuan itu turut berdepan isu kekurangan dana, fasiliti latihan yang khusus serta tenaga mahir yang berpengalaman dalam industri esports.
Bagaimanapun, Abdul Akif melihat cabaran tersebut sebagai peluang untuk membina kerjasama strategik.
“Kami sedang dan akan terus menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan bagi membina kapasiti secara bersama.

“Antara rakan strategik yang dikenal pasti termasuk Yayasan Negeri Sembilan dan Kolej Yayasan Negeri Sembilan, khususnya dalam aspek pembangunan bakat, penyediaan fasiliti latihan serta program pendidikan dan pensijilan berkaitan esports.
“Bahkan, bagi tempoh lima tahun akan datang, persatuan telah merangka beberapa perancangan jangka panjang merangkumi penubuhan struktur pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga elit, melahirkan lebih ramai jurulatih dan pengadil bertauliah serta memperbanyak kejohanan berperingkat di negeri ini.
“Selain itu, kerjasama dengan sekolah, institusi pengajian tinggi dan industri akan terus diperkukuh bagi menjadikan NS sebagai antara negeri rujukan pembangunan e-sukan di Malaysia,” katanya.
Salah satu inisiatif utama ialah penubuhan Pusat Latihan dan Akademi Esports Negeri Sembilan atau Akademi NSEA.
Dengan sokongan Yayasan Negeri Sembilan, Kolej Yayasan Negeri Sembilan dan Majlis Sukan Negeri Sembilan, pusat itu disasarkan menjadi hab latihan atlet, pembangunan bakat akar umbi serta penganjuran program pembangunan belia.
Mengulas sudut pencapaian, Abdul Akif berkata, NS telah membuktikan keupayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan kejayaan meraih pingat emas
Sukma 2022 bagi kategori e-Football Konsol, pingat emas Sukma 2024 bagi kategori Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) serta pingat gangsa Sukan SEA Vietnam 2022 bagi kategori PUBG Mobile.
“Kami menyasarkan atlet-atlet NS untuk terus mewakili negara di peringkat Sukan SEA dan Asia pada masa hadapan,” katanya.
Biarpun sudah terbukti menjadi antara laluan kerjaya belia di negara ini, Abdul Akif mengakui bahawa terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang skeptikal terhadap esports sebagai kerjaya.
Ujar Abdul Akif, industri itu kini bernilai berbilion ringgit di peringkat global.
“Sokongan dan bimbingan ibu bapa amat penting supaya anak-anak dapat mengimbangi pendidikan, disiplin diri dan minat mereka.
“Melalui Akademi NSEA, bakat belia dapat dibimbing secara profesional dari aspek kemahiran, etika, pengurusan masa dan sahsiah diri.
“Dengan pendekatan yang betul, esports mampu menjadi kerjaya profesional yang sihat, beretika dan berdaya saing, sama seperti bidang lain,” katanya.
Dalam pada masa sama, Abdul Akif juga menekankan bahawa pendidikan e-sukan kini turut berkembang melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peringkat diploma.
















