PUTRAJAYA- Sebanyak 140,000 jenis barangan termasuk barangan sejuk beku layak dibeli menggunakan kredit Sumbangan Asas Rahmah (Sara) selepas kerajaan bersetuju meluaskan kategori barangan makanan itu.
Kementerian Kewangan berkata, perluasan kategori makanan sejuk beku itu menjadikan sebanyak 15 kategori barangan asas boleh dibeli dalam kategori Sara.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima, kerajaan bersetuju untuk meluaskan kategori barangan Sara merangkumi makanan sejuk beku (frozen food). Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas.
“Penambahan kategori ‘frozen food’ turut meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis barangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menerusi inisiatif Sara yang bermula hari ini, isi rumah berpeluang menerima bantuan berganda bergantung pada bilangan ahli dewasa yang layak.
“Sebagai contoh, sebuah keluarga terdiri daripada suami, isteri dan dua anak berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM400 kredit Sara secara keseluruhan. Ia tidak termasuk bantuan Sara secara bulanan jika layak.
“Mengambil kira maklum balas rakyat, Kerajaan Madani melaksanakan beberapa penambahbaikan untuk meningkatkan kemudahan dan fleksibiliti pembelian.
“Kerajaan juga menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga Sara kepada 10,000 buah kedai menjelang hujung 2026, manakala jarak kedai runcit terdekat dikurangkan dari 10 kepada 7 kilometer,” katanya.
Orang ramai boleh menyemak status dan soalan lazim mengenai Sara melalui portal rasmi https://sara.gov.my.
Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebagai langkah keselamatan, kementerian ini tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) atau WhatsApp dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR (Sumbangan Tunai Rahmah) untuk maklumat terkini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














