SEBERANG PERAI – Tapak pelupusan sisa pepejal dengan ketinggian kira-kira enam meter di Sungai Burung, Nibong Tebal di sini dilaporkan musnah dalam satu kejadian kebakaran, malam tadi.
Kejadian yang berlaku pada pukul 8.13 malam itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, John Sagun Francis berkata, operasi memadamkan kebakaran melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal.
Menurutnya, usaha memadamkan kebakaran turut mendapat bantuan dari BBP Sungai Bakap, Penanti dan Bayan Baru.
“Kebakaran berlaku di fasa tiga dengan anggaran keluasan keseluruhan 32 ekar itu telah terbakar sebanyak 0.23 ekar dan telah berjaya dikawal pada pukul 10.13 malam tadi. Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Kerja-kerja memunggar sisa pepejal dijalankan dengan bantuan dua buah jengkaut bagi memudahkan pemadaman dilakukan secara ‘direct attack’ dan membuat ‘free break’ bagi mengekang kemerebakan api,” katanya di sini.
Beliau memberitahu, kebakaran telah dapat dipadamkan pada pukul 11.29 malam dan kerja-kerja ‘overhaul’ diteruskan bagi memastikan kebakaran padam sepenuhnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.51 pagi tadi sejurus memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kebakaran,” tambahnya.
Khamis lalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengambil masa hampir 20 jam untuk melakukan ‘overhaul’ di lokasi kebakaran hutan Bukit Bendera, Jalan Kebun Bunga bagi mengelak kejadian berulang.
Kebakaran berlaku melibatkan kawasan hutan berbukit yang berkeluasan kira-kira 20 ekar (lapan hektar). -KOSMO! ONLINE














