DALAM dunia seni halus, terdapat dua cara utama untuk menjual karya iaitu menerusi lelongan terbuka dan private sale atau jualan peribadi.
Private sale merujuk kepada transaksi karya seni yang dirunding secara langsung, sulit dan tidak diumumkan kepada umum.
Berbeza dengan lelongan, di mana karya ditawarkan kepada khalayak melalui bidaan terbuka, namun private sale memberi pengalaman lebih eksklusif kepada pembeli dan penjual.
Galeri dan rumah lelong seperti Capital Fine Art Auction, Petaling Jaya, Selangor turut mengadakan private sale, khususnya bagi kolektor dan pelanggan yang mencari karya tertentu.
Menurut pengasasnya, Sharon Lok, pihaknya bukan sahaja menganjurkan lelongan dan pameran seni, malah menyediakan platform private sale.
“Tujuan utama private sale ini adalah untuk menarik lebih ramai kolektor baharu mengunjungi ruang pameran dan melihat koleksi yang dipamerkan.
“Galeri berharap kolektor baharu dapat memulakan perjalanan mereka dalam mengumpul seni tempatan berkualiti, daripada pembeli pemula sehingga kolektor serius,” katanya ketika ditemu bual Cita Rasa baru-baru ini.
Tambahnya, menerusi pendekatan itu, pihaknya mahu mengubah persepsi bahawa galeri seni hanya untuk kelompok kecil atau golongan istimewa, sebaliknya ia adalah ruang terbuka untuk semua.

Private sale membolehkan galeri atau perunding seni menjalankan rundingan secara terus dengan pembeli tertentu.
Harga, terma pembayaran dan komisen boleh dibincangkan secara fleksibel tanpa tekanan bidaan terbuka.
Ini berbeza dengan lelongan terbuka yang memerlukan harga ditentukan oleh penawaran pasaran.
Kongsi Sharon lagi, kaedah itu juga memberi ketenangan kepada kolektor kerana identiti pembeli, penjual dan harga transaksi biasanya tidak didedahkan kepada umum.
Dalam pasaran seni global, private sale kini menyumbang sebahagian besar jualan karya bernilai tinggi kerana ia menawarkan ketelusan harga dan mengurangkan kos tambahan seperti yuran lelongan.
“Selain privasi dan fleksibiliti, private sale juga memberi akses kepada karya eksklusif yang jarang muncul di lelongan terbuka.
“Ramai pemilik karya seni bernilai tinggi lebih suka menjual secara langsung kepada pembeli dipercayai bagi mengekalkan nilai dan eksklusiviti karya mereka,” ujarnya.
Katanya lagi, galeri seperti Capital Fine Art Auction bukan sahaja menjual karya, malah membina hubungan jangka panjang dengan kolektor.
Melalui jaringan itu, pembeli akan diberi peluang pertama untuk melihat karya baharu atau siri terhad sebelum diumumkan secara terbuka.
Hubungan peribadi juga memupuk kepercayaan antara galeri dan kolektor, yang menjadi asas kepada kejayaan private sale.

“Private sale terkini Capital Fine Art Auction menampilkan karya oleh beberapa artis terkenal Malaysia, termasuk Datuk Sharifah Fatimah, Suzlee Ibrahim, Awang Damit Ahmad, dan Rafee Ghani.
“Galeri ini menawarkan rangkaian karya yang sesuai untuk semua peringkat pembeli, daripada pemula sehingga kolektor serius yang ingin menambah karya bernilai tinggi dalam koleksi mereka,” kongsinya.
Menerusi pendekatan itu, galeri berharap dapat menyemai minat mengumpul seni tempatan serta memupuk budaya menghargai seni dalam kalangan masyarakat.
Capital Fine Art Auction mengadakan private sale berkala yang menampilkan koleksi karya seni oleh artis terpilih.
Acara tersebut biasanya dihebahkan melalui platform media sosial galeri, seperti Instagram dan Facebook untuk menjemput kolektor yang berminat.
Pihaknya juga menekankan bahawa setiap transaksi dijalankan secara profesional dan eksklusif.
Selain itu, galeri tersebut ada menganjurkan pameran seni lain seperti Collector’s Sale Mid-Year Edition dengan tema pameran kreatif.
Ini menunjukkan komitmen galeri tersebut dalam memperkayakan ekosistem seni tempatan.
Dalam konteks Malaysia, private sale di galeri seperti Capital Fine Art Auction memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai saluran transaksi karya bernilai tinggi.
Malah, ia menjadi platform untuk menghubungkan artis, kolektor dan pelabur seni secara eksklusif.
Selain itu, ia menawarkan privasi, fleksibiliti harga dan peluang untuk memiliki karya unik tanpa melalui tatacara lelongan terbuka.
Dengan meningkatnya permintaan kolektor terhadap akses eksklusif dan pengalaman peribadi, private sale semakin relevan dalam pasaran seni moden.
Ia menjadi satu strategi penting bagi mereka yang menghargai seni bukan sahaja sebagai pelaburan, malah satu bentuk warisan budaya dan identiti peribadi.
















