WOKING – Lando Norris menegaskan status sebagai juara dunia Formula Satu (F1) langsung tidak mengubah keinginannya untuk terus menang, selain menyatakan George Russell sebagai calon serius untuk menyertai senarai juara dunia pada era baharu sukan itu.
Juara dunia 2025 itu bakal memulakan musim baharu sebagai penyandang gelaran buat kali pertama selepas menamatkan penantian 17 tahun McLaren untuk kejuaraan pemandu, namun Norris mengakui tekanan dan motivasinya kekal sama.
Menjelang musim 2026 yang akan membuka lembaran peraturan baharu F1, Russell kini dilabel sebagai pilihan utama dengan Mercedes dijangka tampil kuat, sesuatu yang tidak dipandang ringan oleh Norris.
“Saya dan George saling menghormati. Saya percaya sepenuhnya dia akan menjadi juara dunia satu hari nanti, sama ada tahun ini atau tahun hadapan,” kata Norris.
Pemandu berusia 26 tahun itu turut mengakui persaingan bersama Russell yang memasuki F1 pada era sama dengannya, sentiasa berlangsung dalam suasana profesional dan penuh rasa hormat.
Norris mendedahkan kejayaannya merangkul gelaran dunia secara tidak langsung menyuntik motivasi tambahan kepada rakan-rakan seangkatannya, termasuk Russell yang kini semakin yakin dengan peluang sendiri.
Meskipun mengakui kejuaraan dunia pertamanya memenuhi ‘impian hidup’, Norris menegaskan ia tidak membuatkan dirinya berasa selesa atau hilang keinginan untuk terus menang.
“Saya tak rasa berbeza pun masuk musim ini. Perasaan saya tetap sama, saya mahu menang. Itu asas dalam diri saya,” katanya yang bertekad mempertahankan gelaran dalam musim penuh cabaran. – AGENSI














