fbpx
Tinjauan mendapati harga baju Melayu yang dijual ketika ini jauh lebih murah berbanding pembelian pada saat-saat akhir.

Ramai buat persiapan awal raya, elak sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal meraikan kedatangan bulan kesembilan dalam kalendar Hijrah iaitu Ramadan.

Sepanjang bulan mulia itu, umat Islam yang cukup syarat diwajibkan menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara membatalkan puasa dari fajar hingga terbenam matahari.

Belum pun Ramadan menjelma, namun rata-rata masyarakat Muslim di negara ini telah membuat perancangan awal untuk menyambut kedatangan Syawal yang dijangka jatuh pada 21 Mac ini.

Ramai sudah menempah tiket bas, kereta api dan kapal terbang untuk pulang beraya di kampung halaman bersama sanak saudara pada 1 Syawal nanti.

Ada rakan penulis yang awal-awal lagi membeli tiket bas pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan bagi mengelak kehabisan jika membeli pada saat akhir.

Menurut rakan penulis, tiket bas ke Kota Bharu selalunya akan habis terjual sebaik saja memasuki 1 Ramadan. Jika tidak dibeli awal, dia bimbang sekiranya perlu menaiki bas tambahan dengan harga tiket jauh lebih mahal berbanding kadar biasa.

Ketika cuti hujung minggu baru-baru ini, penulis sempat berkunjung ke beberapa pusat beli-belah di sekitar ibu negara untuk membeli barang keperluan rumah.

Penulis mendapati, umat Islam sudah mula membuat persiapan menyambut Syawal kerana banyak kedai yang menjual baju Melayu, baju kurung dan pakaian kanak-kanak diserbu orang ramai.

Pastinya, membeli kelengkapan hari raya lebih awal memberi banyak manfaat. Pertamanya, mereka tidak perlu bersesak-sesak membeli kelengkapan raya ketika bulan Ramadan nanti.

Ini membolehkan mereka memberi tumpuan penuh kepada ibadah tanpa terganggu dengan desakan membeli kelengkapan menyambut hari raya.

Sementara itu, hasil pemantauan penulis, harga baju Melayu yang dijual ketika ini juga jauh lebih murah berbanding pembelian pada saat-saat akhir.

Hal ini kerana kebanyakan kedai masih ada menjual baju Melayu atau baju kurung stok tahun lalu. Jadi, harganya hampir 50 peratus lebih murah berbanding baju stok terbaharu.

Jadi, golongan yang ingin berjimat dan tidak kisah mengenai fesyen terkini, anda digalakkan untuk membeli kelengkapan hari raya lebih awal.

Antara kelebihan lain membuat persiapan hari raya lebih awal, kita boleh memilih pakaian diingini dengan kualiti terbaik.

Penulis mengakui pernah membuat persiapan raya pada saat akhir. Pada tahun tersebut, penulis dengan yakin membeli baju Melayu di ibu kota sehari sebelum pulang ke desa menyambut hari raya.

Namun malangnya, sebaik tiba di kampung, penulis mendapati baju yang dibeli agak sendat. Situasi tersebut menyebabkan penulis terpaksa berhari raya dengan baju ketat dan tidak selesa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN