fbpx
PEMANDU e-hailing menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan subsidi petrol RON95.

Pemandu e-hailing dan analogi sandwic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pemandu e-hailing ibarat sekeping inti sandwic. Ditekan pihak atasan, syarikat pengendali yang sentiasa ‘berperang’ menurunkan tambang.

Dari bawah, golongan itu ditekan pengguna yang mahukan tambang rendah. Tidak pernah ditanya inti masak atau tidak, yang penting sandwic boleh dijual.

Semasa kerajaan mengumumkan subsidi petrol RON95, ramai pemandu yang menarik nafas lega. Dalam kepala mereka, mungkin kali ini inti sandwic tebal sedikit. Itu logik akal.

Namun belum sempat sandwic siap dibungkus, kadar tambang sudah dipotong. Alasan pengendali mudah dan klise iaitu petrol murah, jadi tambang pun kena murah.
Inti sandwic kembali nipis, malah terasa makin kemek.

Analogi sandwic tersebut digunakan oleh Penasihat Persatuan Pemandu-Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali bagi menggambarkan mengenai keadaan lebih 293,000 pemandu e-hailing di Malaysia ketika ini.

Beliau berkata, pengumuman subsidi petrol RON95 oleh kerajaan sebelum ini disambut dengan harapan tinggi dalam kalangan pemandu e-hailing.

Katanya, rata-rata pemandu e-hailing menjangkakan pendapatan mereka akan menjadi lebih baik disebabkan kos petrol yang berkurangan selepas pelaksanaan Budi Madani RON95 (Budi95).

Secara realitinya, di lapangan berbeza kerana subsidi tersebut didakwa tidak memberi manfaat penuh kepada golongan pemandu seperti yang diharapkan.

Beliau mengakui sejurus selepas subsidi RON95 diumumkan, kadar tambang e-hailing mulai turun.

“Pemandu tidak menikmati penjimatan sebenar daripada subsidi tersebut kerana pendapatan mereka turut menurun seiring dengan kadar tambang. Sejak dulu lagi sebelum harga petrol turun, tambang memang sudah rendah, tidak pernah pun betul-betul tinggi.

“Jika tambang terlalu rendah dan tidak menguntungkan, sepatutnya tiada siapa mahu melakukan pekerjaan itu. Namun, masih ramai yang bertahan kerana tiada pilihan,” katanya ketika dihubungi.

Arif Asyraf memberitahu, isu utama membabitkan nasib pemandu e-hailing yang masih perlu diselesaikan adalah tiada kawalan harga lantai oleh pihak berkuasa.

Ujarnya, tanpa harga minimum, syarikat e-hailing bebas menentukan kadar tambang mengikut strategi masing-masing.

Beliau menjelaskan, walaupun syarikat e-hailing cuma mengambil komisen, kesan paling besar tetap ditanggung oleh pemandu. Pemandu perlu menanggung kos kenderaan, insurans, lesen, penyelenggaraan dan pelbagai perbelanjaan lain.

Justeru katanya, sama ada harga petrol tinggi atau rendah, corak pendapatan pemandu hampir sama kerana kadar tambang akan disesuaikan oleh syarikat.

Ia ekoran, dari sudut persaingan harga, pengendali e-hailing mendapat sedikit kelebihan untuk menarik pengguna dengan tambang lebih murah.

“Pemandu berada dalam keadaan ‘tersepit’, ditekan oleh kos sara hidup dan pada masa sama ditekan oleh sistem harga yang tidak memihak kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, pemandu e-hailing, Wanda bersetuju dengan analogi sandwic kerana baginya, mereka lebih kerap dianggap pelengkap aplikasi dalam dunia e-hailing,

“Jika ada, syukur. Jika tiada, cari yang lain. Selagi ada yang sanggup membeli, selagi itu sandwic boleh dijual. Sedap untuk pengguna, mengenyangkan syarikat, tapi inti di tengah tetap yang paling terasa ditekan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN