PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau dalam satu hantaran di media sosial menyatakan rasa syukur kerana UIAM memberi peluang untuk dirinya belajar undang-undang.
“Sejak kecil lagi saya nak belajar undang-undang, namun saya bukan daripada keluarga berkemampuan sangat. Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah satu-satu pilihan.
“Alhamdullilah, UIAM memberikan saya satu peluang untuk mencapai cita-cita saya,” katanya semalam.
Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, beliau akan melakukan yang terbaik bagi membalas budi kepada tanah air.
“Demi membalas budi negaraku yang tercinta, insya-Allah saya akan buat yang terbaik dalam segala tanggungjawab yang diberikan kepada saya untuk mencapai cita-cita saya.
“Syukran jazilan khairan kathira,” katanya. – KOSMO! ONLINE














