SUNGAI PETANI – Seorang pendakwah bebas dan seorang lagi individu ditahan reman untuk membantu siasatan bagi kes bersubahat menyalahgunakan kuasa meluluskan bayaran kira-kira RM600,000, lapan tahun lalu.
Perintah reman selama sehari ke atas suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan oleh Majistret, Noorfazlina Musa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Menurut sumber, dua suspek terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani, kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes bersuhabat menyalahgunakan kuasa meluluskan kira-kira RM600,000 sebagai balasan bayaran mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek adalah masing-masing merupakan pengarah urusan syarikat serta ketua jabatan kewangan dan perakaunan. Kes tersebut didakwa berlaku sekitar September 2018,” katanya.
Menurutnya, kelulusan bayaran kepada suspek utama sebagai bayaran pengumpul dana itu didakwa dilakukan tanpa mendapat kelulusan daripada rakan kongsi lain.
Siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM sejak Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














