KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) bercadang untuk memperluas pelaksanaan Program MyLesen B2 pada tahun ini dengan sasaran sehingga 30,000 peserta.
Menterinya, Anthony Loke berkata, seramai 24,389 orang telah menerima manfaat program itu sepanjang tahun 2025.
“Program ini memberi keutamaan kepada golongan B40, belia dan pekerja muda yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan harian.
“Selain membantu mengurangkan beban kos mendapatkan lesen, program ini memastikan penunggang memperoleh latihan formal dan berstruktur demi meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-BENTONG) mengenai berapa ramaikah orang yang telah menerima manfaat latihan percuma untuk mendapat lesen B2 di bawah program MyLesen B2 pada tahun 2025 dan rancangan Kementerian untuk program ini bagi tahun 2026.
Sementara itu, Anthony berkata, bgi tahun 2026, MOT bercadang untuk melaksanakan pendekatan lebih bersasar termasuk kepada pelajar sekolah menengah dan komuniti berisiko tinggi.
“Langkah itu selaras dengan usaha Kerajaan untuk menambah baik kompetensi pemanduan secara selamat dan mengurangkan kemalangan motosikal secara mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














