GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga British ditemukan selamat selepas dilaporkan tersesat dipercayai lebih lima jam ketika melakukan aktiviti pendakian di bukit Batu Ferringhi di sini, petang semalam.
Mangsa berusia 63 tahun dijumpai dalam keadaan stabil awal pagi tadi setelah dia dikatakan tersasar dari laluan asal.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan dari sistem NG999 berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.01 petang semalam.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Teluk Bahang.
“Mangsa berjaya dihubungi pasukan bomba dan telah menghantar lokasi keberadaannya melalui aplikasi WhatApps.
“Pasukan keluaran operasi bertindak menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat dibantu oleh pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam di lokasi.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemukan seorang diri dalam keadaan selamat dan telah dibawa turun ke kaki bukit,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, operasi menyelamat tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 2.46 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE














