REMBAU – Seorang pesara polis dan isterinya berhati mulia apabila sanggup membela tiga cucu tirinya bagaikan darah daging sendiri walaupun mereka sendiri tidak terlalu berdaya kerana sudah dimamah usia.
Mohd. Zaki Lasim, 77, berkata, dia menjaga tiga cucu tirinya berusia antara empat bulan hingga tujuh tahun itu dengan isterinya, Rozinah Abu Bakar, 68, dengan penuh kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.
Dia yang sebelum ini mengusahakan madu kelulut berkata, dia menjaga tiga cucunya selepas anak tirinya mendapat kerja di Gemas setelah hampir setahun bercerai dengan suami bagi menampung keperluan kewangan.
“Selagi ada nyawa, kami akan bela mereka. Cucu tiri sulung lelaki yang dilahirkan dengan jantung di sebelah kanan di Hospital Shah Alam tinggal dengan kami sejak kecil.
“Jadi, saya sudah tahu kalau dia menangis sebab apa, lapar macam mana, dan jika merajuk nak pujuk macam mana. Segalanya saya boleh buat untuk cucu saya,” katanya ketika ditemui di Bukit Chengkih, Kampung Legong Ulu di sini semalam.
Menurut Mohd. Zaki, walaupun dia menghidap sakit buah pinggang yang menyebabkan berat badannya susut lebih 40 kilogram, rutin harian menghantar cucunya yang berusia tujuh tahun itu ke sekolah setiap hari tetap dilaksanakan demi memastikan pendidikanya terjaga.
Tambahnya, dia runsing setiap kali memikirkan keperluan cucunya itu untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran baharu kerana yang lama sudah rosak.
“Doktor kata jantung dia berlubang dan terletak di sebelah kanan. Tulang belakang dan tangannya pula bengkok selain hanya boleh mendengar antara 60 hingga 65 peratus sahaja,” katanya.
Ujar Mohd. Zaki, dia dalam proses mendapatkan bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas dibantu oleh ketua kampung.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Legong Ulu, Saharudin Ahmad berkata, wakil rakyat setempat serta agensi berkaitan telah melawat keluarga berkenaan dan kini pihaknya dalam proses melengkapkan bantuan.
“Saya kerap melihat Mohd. Zaki menghantar cucunya ke sekolah dan sebaik mengetahui keperluan keluarga ini saya sudah pun mengetengahkan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat Mohd. Zaki di 2227329414 atau menghubunginya di talian 019-272 5944.














