MANCHESTER – Pihak pengurusan Manchester City mula melihat secara serius senario melibatkan kemungkinan mereka bakal kehilangan khidmat Pep Guardiola dengan menamakan beberapa calon pengendali baharu.
Laporan menyebut, City dilaporkan berminat dan meletakkan Xabi Alonso sebagai calon teratas untuk mengisi kekosongan yang mungkin ditinggalkan itu selain dua lagi individu yang dilihat turut memiliki kemampuan.
Ketika ini, spekulasi hangat menyebut bahawa Guardiola bakal meninggalkan Etihad sebaik musim ini berakhir biarpun masih memiliki kontrak sehingga musim panas 2027 terutama sebelum mereka dilihat semakin sukar mencabar Arsenal dalam pemburuan kejuaraan.
Sejak mengemudi The Citizens pada 2016, Guardiola berjaya mencipta sejarah kejayaan kelab itu dengan enam gelaran Liga Perdana Inggeris termasuk gelaran trebel dengan merangkul trofi Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, legasi Guardiola dijangka semakin menghampiri penghujung menyebabkan pihak pengurusan kelab itu mula melihat secara serius alternatif yang mereka ada untuk membawa masuk pengurus baharu yang mampu sekurang-kurangnya menyamai pencapaian Guardiola.
Alonso ketika ini berstatus ejen bebas selepas dipecat oleh Real Madrid dan City melihat beliau sebagai seorang pengurus yang cukup taktikal dan mampu menguruskan pemain dengan baik mengambil kira kejayaannya ketika di Bayer Leverkusen.
Selain Alonso, bekas pengurus Chelsea, Enzo Maresca yang turut memiliki DNA City apabila pernah menjadi pembantu Guardiola sebelum ini turut berada dalam senarai pendek yang mungkin dipertimbangkan selain beliau juga tidak terikat dengan mana-mana kontrak.
Nama ketiga yang disebut juga adalah pengendali Como, Cesc Fabregas yang turut menjadi perhatian banyak kelab di Eropah apabila membantu pasukan itu berada dalam kelompok pasukan teratas dalam saingan Serie A. – AGENSI














