SEPANG – Cubaan seorang lelaki warga Perancis menyeludup keluar hidupan liar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini gagal apabila ditahan pihak berkuasa semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataannya berkata, operasi dilakukan pada pukul 12 tengah hari selepas pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas bagasi seorang penumpang yang dijadualkan berlepas ke Hanoi.
“Pemeriksaan mendapati suspek membawa barangan disyaki hidupan liar tanpa kebenaran atau dokumen sah. Antara barangan yang disita ialah tanduk dan tengkorak rusa dengan nilai keseluruhan RM3,000,” katanya hari ini.
Susulan itu, suspek dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
Kesemua barangan itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE














