ISSAM merupakan pencipta aplikasi UpScrolled yang semakin popular di dunia ketika ini.

Jurutera perisian bangsa Palestin cipta UpScrolled ganti TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APLIKASI TikTok merupakan salah satu platform media sosial kegemaran pengguna di seluruh dunia. Platform itu bukan sahaja berperanan mendapatkan maklumat, malah berupaya menjadi medium janaan pendapatan.

Bagaimanapun, polemik politik yang berlaku di beberapa negara membuatkan sebilangan pengguna mula mengambil tindakan memadam dan beralih ke aplikasi baharu.

Menurut penyelidikan Sensor Tower, dianggarkan sekitar 150 peratus daripada 1.2 bilion pengguna aktif (bulanan) di Amerika Syarikat (AS) mengucapkan selamat tinggal kepada aplikasi TikTok.

Mereka dikatakan telah beralih kepada aplikasi baharu, UpScrolled yang dibangunkan oleh Issam Hijazi.

Issam merupakan usahawan dan jurutera perisian berbangsa Palestin yang menetap di Australia.

Beliau membangunkan aplikasi tersebut bersama pasukannya sebagai alternatif kepada platform media sosial gergasi yang didakwa mengamalkan penapisan kandungan ketat.

Beberapa pencipta kandungan mendakwa, video mereka mengkritik operasi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) atau membincangkan isu imigresen tidak mendapat capaian sewajarnya di TikTok.

Malah, ada mendakwa kandungan mereka dipadam tanpa penjelasan.

Hal ini tular di platform lain seperti X serta Instagram, sekali gus mendorong pengguna mencari saluran alternatif untuk menyiarkan pandangan mereka.

Memetik portal, Fast Company, UpScrolled merupakan aplikasi media sosial yang menggabungkan ciri-ciri terbaik daripada TikTok, Instagram, dan X (Twitter) dalam satu platform, dengan memberi fokus pada kebebasan bersuara dan ketelusan.

“UpScrolled dicipta untuk menjadi platform yang telus, di mana kandungan tidak dimanipulasi oleh algoritma rahsia dan menghormati kebebasan bersuara pengguna tanpa diskriminasi politik.

“UpScrolled kini menduduki antara tangga teratas dalam carta aplikasi paling banyak dimuat turun dalam App Store bagi kategori rangkaian sosial, memintas gergasi seperti WhatsApp dan TikTok,” katanya.

Antara Muka (UI) campuran mempunyai susun atur yang menggabungkan elemen visual Instagram (foto dan stories) dengan video pendek gaya TikTok serta hantaran teks menyerupai X.

Terdapat dua jenis feed (aliran kandungan) UpScrolled. Pertama, 100 peratus mengikut urutan masa (chronological), di mana pengguna hanya melihat hantaran daripada individu diikuti tanpa sebarang manipulasi algoritma.

Kedua, discover feed yang memaparkan kandungan trending berdasarkan jumlah likes (suka) dan komen dengan sedikit elemen rawak supaya kandungan daripada pencipta baharu juga berpeluang tular.

Pengguna boleh memuat naik video sehingga 20 minit, hantaran teks panjang (sehingga 4,500 aksara) dan memuatkan 20 keping foto dalam satu hantaran.

Berdasarkan perkongsian di Ai.LAB, UpScrolled memberi fokus kepada jaminan tiada penyekatan kandungan secara senyap (shadowban) bagi memberi peluang kepada pengguna melontarkan pandangan mereka.

“UpScrolled juga menyatakan dengan tegas bahawa mereka tidak menjual data pengguna kepada pihak ketiga untuk pengiklanan atau profil komersial.

“Aplikasi tersebut turut dilengkapi dengan alat penyuntingan video yang membolehkan pengguna menambah sentuhan peribadi pada video pendek atau panjang,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Issam memberitahu, aplikasi UpScrolled diwujudkan bagi memberi ruang kepada pengguna berkongsi kandungan tanpa rasa bimbang terhadap penapisan tersembunyi.

“Walaupun setiap platform perlu mematuhi undang-undang dan garis panduan keselamatan, namun pengguna berhak mengetahui bagaimana kandungan mereka dinilai dan diedarkan,” katanya.

Aplikasi UpScrolled boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN