HAMBURG – Bayern Munich terus tercicir mata buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Bundesliga apabila diikat Hamburg 2-2 di Volksparkstadion awal pagi semalam.
Situasi itu kembali membuka peluang buat pasukan di tempat kedua, Borussia Dortmund untuk mengejar Bayern di puncak liga yang kini ketinggalan sembilan mata, namun memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
Penyerang Bayern, Harry Kane tanpa berselindung mendedahkan kekecewaannya terhadap mutu pengadilan yang disifatkan antara terburuk pernah dilihat dalam karier bola sepaknya.
Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl dan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer turut senada dengan pandangan Kane yang kini mendahului carta penjaring terbanyak Bundesliga menerusi 22 gol.
“Kalau topik perbincangan selepas perlawanan adalah mengenai pengadil, bermakna ia bukan satu petanda yang bagus. Saya tidak memulakan topik ini tetapi apabila anda bercakap mengenainya, jadi anda sendiri sudah tahu apa jawapan saya,” kata Neuer.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany juga berpandangan bahawa pasukannya sepatutnya diberikan lebih banyak tambahan masa disebabkan perlawanan terpaksa ditangguh selama 16 minit secara keseluruhan.
“Sepatutnya kami boleh bermain 20 atau 25 minit lagi. Saya mungkin gembira jika kami mendapat tambahan masa enam atau tujuh minit tetapi ia tidak berlaku,” jelasnya.
Pemain pinjaman Arsenal, Fabio Vieira menyempurnakan sepakan penalti buat Hamburg (m-34) sebelum Bayern kembali mendahului menerusi Kane dan Luis Diaz pada minit ke-42 serta 46.
Bagaimanapun, hasrat Bayern membawa pulang tiga mata hancur berkecai selepas Luka Vuskovic menanduk masuk gol penyamaan hasil hantaran lintang William Mikelbrencis pada minit ke-53. – AGENSI














