PETALING JAYA – Penganjuran PGM Tour sejak 16 tahun lalu mula menampakkan hasil apabila berlaku peningkatan ketara dari segi standard permainan, skor dan prestasi pemain yang menjadi bukti kejohanan itu menjadi tulang belakang pembangunan golf profesional negara.
Sehubungan itu, Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) dalam satu kenyataan berkata, mereka berbesar hati untuk meneruskan jelajah itu pada tahun ini yang menyaksikan 19 kejohanan merangkumi lelaki dan wanita bagi memastikan kelestarian golf profesional tempatan.
Katanya, keperluan untuk memiliki jelajah profesional yang mampan amat penting bagi menjamin perkembangan dan daya saing pemain golf profesional tempatan, selain memastikan bakat sedia ada terus diberi platform kompetitif.
“PGM bekerjasama dengan MGA mahu membuka laluan lebih luas kepada pemain amatur berbakat untuk beraksi di kejohanan anjuran kami.
“Beberapa pemain amatur kini memegang kad PGM Tour, sekali gus membolehkan mereka bersaing secara langsung dengan pemain profesional dan mempercepatkan proses peralihan ke peringkat tertinggi,” katanya.

Menurut PGM, kalender 2026 turut memberi penekanan kepada pembangunan golf wanita apabila satu kejohanan major wanita dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026 di Mines Resort & Golf Club dengan tawaran hadiah wang berjumlah RM200,000.
Dalam pada itu, Kejohanan berkenaan akan dibuka kepada semua pemain wanita Malaysia, sama ada profesional atau amatur dan dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkasakan penyertaan serta daya saing atlet wanita dalam arena golf tempatan.
Pelancaran kalendar berkenaan dibuat di Kelab Golf Seri Selangor, sejurus tamat Kelayakan Sekolah PGM 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Januari lalu.
Antara venue yang akan menjadi tuan rumah PGM Tour 2026 termasuk Kelab Golf Seri Selangor, Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Saujana Golf & Country Club, Bukit Jawi Golf Resort, Royal Pekan Golf Club, Royal Pahang Golf Club, Port Dickson Golf & Country Club, Tiara Melaka Golf & Country Club, Mines Resort & Golf Club dan Palm Resort Golf & Country Club.
PGM turut merakamkan penghargaan kepada semua venue, penaja serta rakan strategik termasuk Asian Tour, yang terus membuka peluang kepada pemain tempatan untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.














