PEKAN – Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) meneruskan majlis penyampaian zakat kepada pesakit kronik dan pelajar asnaf, di sini melibatkan 800 orang penerima, hari ini.
Majlis penyerahan zakat buat kali ketiga tahun ini kepada asnaf disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali bersama Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah.
Dalam majlis itu, Ibrahim turut mengumumkan untuk menaja 48 orang asnaf menunaikan ibadah umrah di bawah kendalian Andalusia.
Ibrahim berkata, jumlah zakat yang diagihkan kepada asnaf terlibat kali ini adalah sebanyak RM230,000 selain sebanyak RM60,000 untuk belanja pengurusan.
“Agihan zakat melibatkan 600 pelajar yang menerima RM200 setiap orang manakala 200 pesakit kronik yang menerima RM500 setiap orang.
“Program ini kita mulakan sejak 2023 dan insya-Allah jika ada rezeki kita teruskan lagi tahun hadapan,” katanya pada Majlis Penyerahan Zakat kepada Asnaf Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, usaha membayar zakat akan terus dilakukan kerana ia menjadi antara doanya untuk terus menjadi pemberi zakat dalam membangunkan ummah.
Justeru beliau memohon doa daripada orang ramai agar dapat terus menyalurkan zakat tahun hadapan dengan lebih banyak dan meluas lagi kepada golongan memerlukan.
Sementara itu Mohamed Puzi berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak Andalusia yang terus memilih Pekan sebagai destinasi menyalurkan sumbangan zakat pada tahun ini.
Katanya, beliau berharap penerima bantuan zakat berkenaan dapat menggunakan wang sumbangan itu dengan cara terbaik berdasarkan kepada keperluan masing-masing.
Ujarnya, selain membeli keperluan masing-masing sumbangan berkenaan juga dapat meringankan beban keluarga dalam persediaan memasuki bulan Ramadan tidak lama lagi.
Sementara itu Pegawai Daerah Pekan, Azora Shamsudin berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada pihak Andalusia dalam menjayakan program bantuan kepada golongan asnaf seperti ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Andalusia dan berharap program seprti ini dapat dilaksanakan setiap tahun,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














