PETALING JAYA – Pekerja warga Indonesia di negara ini mampu mengirim wang kepada keluarga sehingga 10 juta Rupiah sebulan berikutan pengukuhan ringgit sejak akhir tahun lalu.
Lonjakan kadar tukaran wang itu juga mendorong mereka melakukan kerja tambahan bagi mengumpul lebih banyak wang untuk dihantar ke kampung.
Situasi itu membolehkan ahli keluarga mereka mengubah suai rumah, membeli kenderaan, menyambung pelajaran dan menyimpan untuk tujuan memulakan perniagaan apabila kembali ke tanah air.
Kadar tukaran RM1 ketika ini bersamaan 4,262 Rupiah, tertinggi sejak lebih 10 tahun.
Ini bermakna, dalam tempoh lima hari, mereka boleh menghantar wang bersamaan gaji sebulan. Hal sama turut berlaku kepada warga Bangladesh yang boleh menghantar hampir 30,000 taka sebulan. Kadar tukaran melibatkan RM1 kepada 29 taka.

Carian di internet mendapati, kadar itu bersamaan dengan pendapatan doktor hospital swasta di Indonesia yang menerima antara enam hingga lapan juta rupiah sebulan.
Farid Thohir, 38, berkata, dia tersenyum apabila mampu mengirim dua juta rupiah kepada keluarganya di Lampung, Sumatera dalam tempoh lima hari bekerja.
“Pendapatan saya RM150 sehari dan sebahagiannya dihantar ke kampung untuk menampung keperluan asas keluarga sebulan.
“Jumlah itu besar nilainya di kampung saya. Kami boleh makan sekeluarga, bayar bil dan paling penting masih boleh simpan sedikit. Sebab itu kerja di Malaysia sangat berbaloi,” katanya.
Menurut Farid, dia kini memiliki sebuah rumah selesa, motosikal dan sedang membina sebuah gudang beras di kampungnya sebagai persediaan membuka perniagaan kecil apabila pulang kelak hasil kerja selama beberapa tahun.
Tambahnya, kadar tukaran semasa ringgit setara dengan gaji sebulan pekerja biasa di Indonesia seperti buruh kilang, pengawal keselamatan atau pekerja runcit.
“Kerja memang penat, tapi bila fikir keluarga bahagia, semua jadi ringan,” ujarnya.
Buruh dari Jawa Tengah, Marzuli Kusno, 42, berkata, pendapatan harian sekitar RM400 di Malaysia memberinya peluang mengubah taraf hidup keluarganya.
“Di Malaysia, RM400 itu sederhana. Tapi bila ditukar ke rupiah, ia jadi jutaan. Di kampung, orang yang kerja di Malaysia dianggap sudah senang,” katanya.
Menurutnya, kiriman wang secara konsisten membolehkan dia membeli sebuah kenderaan, membaiki rumah ibu bapanya serta membuka kedai runcit kecil di kampung.
Namun cerita berbeza untuk warga Bangladesh apabila mereka mempunyai ruang simpanan lebih terhad.
Kalam Abdul Rahman, 38, berkata, kiriman RM1,000 dari Malaysia hampir menyamai gaji sebulan pekerja biasa di negaranya.
“Wang itu cukup untuk keluarga hidup sederhana, bayar makan dan bil. Tapi tidak semewah di Indonesia, kerana kos di Bangladesh sekarang semakin naik,” katanya.
Perbezaan jurang mata wang ini menjadikan Malaysia terus dilihat sebagai destinasi rezeki, apabila setiap ringgit yang diperoleh pekerja asing di sini memberi kesan berganda kepada ekonomi keluarga mereka di kampung halaman.
Dalam realiti ekonomi serantau hari ini, ringgit bukan sekadar mata wang domestik, tetapi menjadi nadi kelangsungan hidup ribuan keluarga di luar sempadan, yang bergantung kepada kestabilan dan kekuatannya. -KOSMO! ONLINE














