NAPLES – Juara Itali, Napoli terpaksa menelan hakikat perit apabila tersingkir daripada mara ke pusingan seterusnya Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini selepas tewas 2-3 kepada Chelsea sekali gus menghuni kelompok 12 tercorot awal pagi semalam.
Begitupun, pengendali Napoli, Antonio Conte mempertahankan pasukannya dan berbangga dengan usaha ditunjukkan anak-anak buahnya sepanjang kempen musim ini disebabkan masalah kecederaan yang menghantui mereka.
“Kami patut berbangga dan berpuas hati kerana kami kehilangan hampir separuh daripada skuad utama tetapi masih berjuang memberikan tentangan sehabis baik.
“Sudah tentu kami tidak boleh menyamai tahap pasukan lain seperti Chelsea yang berhak meraih kemenangan ini. Namun, kami tetap bersaing dalam setiap perebutan bola dan sepatutnya boleh ke playoff.
“Malangnya kami sudah berada dalam situasi sukar sebelum ini tetapi ia sudah berlaku dan tiada apa yang boleh kami lakukan. Semuanya menjadi pengalaman yang amat berguna buat pasukan ini,” kata Conte.
Kegagalan mara ke peringkat kalah mati bermakna Napoli boleh memberikan sepenuh fokus untuk mempertahankan gelaran Serie A memandangkan mereka kini ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Inter Milan.
Selain Napoli, beberapa nama besar Eropah seperti gergasi Perancis, Marseille dan dua jaguh Belanda, Ajax serta PSV Eindhoven antara yang turut tersingkir awal.
Wakil Portugal, Sporting Lisbon pula antara yang turut mencuri tumpuan kerana berjaya mencipta kejutan ‘menyelinap’ ke kelompok lapan teratas untuk mara automatik ke pusingan 16 terbaik tanpa perlu mengharungi aksi playoff. – AGENSI














