KUALA LUMPUR – Pelakon tersohor tanah air, Bront Palarae, secara rasmi dilantik sebagai duta pertama koleksi lelaki Aryan di bawah jenama Ariani, sekali gus menandakan satu pencapaian penting sempena Warna Lebaran Ariani 2026.
Pelantikan ini hadir selepas tiga tahun pencarian oleh pihak Ariani untuk menemukan figura lelaki yang benar-benar selari dengan nilai, karakter dan aspirasi jenama tersebut.
Kehadiran Bront sebagai wajah utama Aryan memperkukuh naratif koleksi pakaian lelaki Ariani yang menekankan keanggunan moden, ketelitian rekaan dan kematangan personaliti lelaki masa kini.
Dikenali dengan kredibiliti seni, pemilihan watak yang berprinsip serta persona yang versatil, Bront dilihat sebagai refleksi semula jadi kepada ‘DNA’ Aryan yang menyeimbangkan gaya, nilai dan keperibadian.
“Saya melihat Aryan sebagai sebuah jenama yang berkembang dengan identiti yang jelas – tenang, matang dan berkarakter. Pelantikan ini bukan sekadar soal fesyen, tetapi bagaimana seorang lelaki membawa dirinya, nilai yang dipegang dan keyakinan untuk tampil autentik.
“Saya berbesar hati menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, lebih-lebih lagi apabila Aryan memberi ruang kepada lelaki untuk mengekspresikan gaya tanpa perlu berlebihan, sebaliknya berakar pada kesederhanaan dan kualiti,” tambahnya lagi,” katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd, Datin Seri Farah Haryani, pemilihan Bront bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui pertimbangan yang teliti.
“Aryan memerlukan seorang figura yang bukan sekadar dikenali, tetapi dihormati. Bront Palarae memiliki keperibadian, integriti dan perjalanan seni yang selari dengan visi Aryan. Selepas tiga tahun pencarian, kami yakin beliau adalah representasi terbaik untuk koleksi lelaki Ariani,” katanya. – KOSMO! ONLINE














