fbpx
Nabila Razali tidak lagi terkesan dengan kecaman ramai setiap kali video lama yang memaparkan nyanyiannya dikatakan teruk diulang siar sehingga hari ini dalam media sosial.

‘Dah tak ada isu, sebab itu keluarkan balik video lama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengakui tidak lagi terkesan dengan kecaman ramai setiap kali video lama yang memaparkan nyanyiannya yang dikatakan teruk diulang siar sehingga hari ini dalam media sosial.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 34, berkata perkara tersebut sudah kerap dilaluinya dan menegaskan lali dengan kecaman daripada netizen.

“Saya tidak beri apa-apa komen sebab itu video lama dan akan sentiasa ada. Semua itu sudah bertahun-tahun berlaku tetapi mereka (netizen) masih kongsi semula.

“Tetapi dapat juga mengingatkan kembali tentang masa lalu, kalau tidak saya pun lupa.

“Memang tak boleh nak halang. Mungkin mereka pun dah tak ada isu, sebab itu keluarkan balik semua video lama,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media pelancaran drama siri Viu Original, Sesaat Lebih di sini, semalam.

Bukan kebal, dia sebaliknya tidak terlalu mengambil tahu kecaman ramai yang masih dilemparkan terhadapnya dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki kelemahan diri terutama dalam bidang nyanyian.

“Kalau nak cakap tentang nyanyian saya tidak bagus atau apa saja, teruskan sebab sejak dulu lagi saya menerimanya dengan berlapang dada.

“Disebabkan itu juga saya mengambil kelas vokal dan kelas menari untuk perbaiki diri.

“Apa lagi yang boleh saya buat, saya hanya mampu baca komen netizen dan lihat saja,” katanya lagi.

Mengulas mengenai hantaran yang pernah dikongsi dalam Threads sebelum ini mengenai kurang bersetuju apabila kualiti nyanyian seorang penyanyi tidak seharusnya diadili berdasarkan kehidupan peribadi, dia menegaskan pandangan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus.

“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan kenyataan itu cuma pendapat peribadi yang saya rasakan sangat tidak adil untuk sesiapa pun diadili dengan sebegitu.

“Bila orang menyanyi kita dengar suara, kenapa kita tengok pada kehidupan peribadi mereka pula? Tidak kiralah berlaku kepada penyanyi atau pelakon.

“Saya kurang bersetuju dengan tindakan menghakimi itu. Kalau boleh nak nasihat orang luar yang suka buat andaian sendiri berdasarkan kehidupan peribadi orang lain, kurang-kurangkanlah,” jelasnya.

Terdahulu, Nabila memuat naik satu hantaran dalam akaun Threads miliknya yang meluahkan rasa kelakar apabila melihat orang ramai menilai kemampuan vokal seseorang bukan berdasarkan suara, sebaliknya melalui kehidupan peribadi.

Rentetan itu, ramai netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya dan mula mencemuh dengan membandingkan vokalnya yang dianggap kurang memuaskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI