fbpx
Tangkap layar perkongsian @asyuhadarai di Tnreads.

Papazola sebenar, boleh jadikan iklan raya 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sikap prihatin seorang pemandu e-hailing menyentuh hati ramai selepas kisahnya tular menerusi satu perkongsian di Threads, baru-baru ini.

Perkongsian dibuat oleh pengguna akaun @asyuhadarai yang menceritakan pengalaman menaiki perkhidmatan Grab bersama seorang pemandu lelaki ketika menuju ke Terminal Bas Kajang.

Menurut wanita itu, sepanjang perjalanan, pemandu berkenaan kelihatan kerap bertanya dan memastikan sama ada destinasi yang dituju benar-benar Terminal Kajang, selain bertanyakan waktu bas bertolak.

“Dia macam risau. Dia cakap banyak kes berlaku dekat terminal dan bahaya kalau perempuan seorang diri. Dalam hati saya masa tu Allah saja tahu betapa resahnya,” tulisnya.

Setibanya di terminal, pemandu tersebut tidak terus meninggalkan penumpangnya, sebaliknya meminta wanita itu menunggu di dalam kereta sebelum dia sendiri turun untuk bertanyakan maklumat berkaitan platform bas dan status perjalanan.

Kata wanita itu, pemandu terbabit kemudian kembali dan memaklumkan bahawa bas berkenaan beroperasi seperti biasa, selain menasihatkan keadaan terminal yang kurang selesa.

“Dia kata, ada segerombolan perempuan dekat platform tertentu, jadi dia bawa saya u-turn (berpatah balik) dan hantar ke situ. Masa tu saya terus hulur tips, tapi dia tolak kuat dan cakap dengan nada tegas, ‘Cik, saya ikhlas. Tak perlu ini,’” katanya.

“Encik ni macam Papazola la. Mungkin benda ini nampak besar di mata saya sebab saya tak pernah dapat layanan macam ini daripada ayah saya. Encik bekerja dengan sangat ikhlas walaupun RM7. Encik memang seorang ayah, suami yang hebat,” katanya.

Perkongsian itu menerima ribuan tanda suka dan komen, malah ramai netizen menyifatkan sikap pemandu tersebut wajar dijadikan contoh dan diangkat sebagai inspirasi dan sesuai dijadikan iklan raya 2026.

Sementara itu, di ruangan komen, pemandu Grab berkenaan yang menggunakan akaun @raphael.kunasegaran tampil membalas perkongsian tersebut.

“Saya rasa kagum dan pegun atas perkongsian anda terhadap saya serta mengambil masa untuk berkongsi secara terperinci mengenai senario yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, penghargaan dan kepercayaan yang diberikan benar-benar memberi semangat untuk terus menjalankan tugas dengan sebaik mungkin.

“Walaupun kita berbeza agama, emosi dan tanggungjawab adalah tetap sama. Saya cuma menjalankan amanah dan buat yang terbaik dalam kerja saya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI