fbpx
CS Lim bersama kanak-kanak membuat pokok oren menggunakan lego di sebuah reruai yang disediakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Legoland Malaysia baru-baru ini.

‘Garden of Prosperity’ warnai sambutan Tahun Baharu Cina di Legoland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Legoland Malaysia Resort menghidupkan suasana Tahun Baharu Cina dengan sambutan istimewa berkonsepkan ‘Garden of Prosperity’ sempena ketibaan Tahun Kuda menerusi perayaan Lunar New Year selama sebulan, bermula 22 Januari hingga 22 Februari 2026.

Naib Presiden Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata, pemilihan simbol kuda sebagai elemen utama sambutan kali ini amat bertepatan dengan maksud dan mesej yang ingin disampaikan kepada para pengunjung.

Menurutnya, kuda melambangkan tiga elemen utama iaitu kekuatan, kebebasan dan kelajuan, yang disifatkan sebagai simbol tenaga positif serta semangat baharu untuk memulakan tahun.

“Simbol kuda ini memang sesuai dengan Tahun Kuda yang bakal tiba. Ia membawa lambang kekuatan, vitality, stamina dan juga tenaga. Apabila pengunjung melihat binaan kuda setinggi 2.4 meter ini, kami harap mereka akan rasa bersemangat serta menerima keberkatan dan tuah yang baik,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Sepanjang tempoh sambutan, kawasan resort akan dihiasi dengan tanglung merah yang bercahaya, bunga sakura serta pelbagai binaan Lego bertemakan perayaan. 

Tumpuan utama pastinya terletak pada binaan Lego Horse setinggi 2.4 meter, diinspirasikan daripada set terhad Lego 40779 Year of the Horse Chinese Zodiac, lengkap dengan skrol keberkatan sebagai simbol tuah dan pembaharuan.

Mengangkat konsep ‘Build Your Luck, Brick by Brick’, pelbagai aktiviti interaktif menggunakan lego disediakan termasuk membuat kuda, pokok oren, mural kaligrafi cina dan menang hadiah mingguan.

Sambutan ini turut dimeriahkan dengan Pesta Musim Bunga dari 17 hingga 22 Februari 2026 yang menampilkan persembahan kebudayaan seperti tarian singa dan naga, akrobat tiang tinggi, persembahan pemuzik oriental, seni penukaran wajah Cina, gendang purba serta persembahan berjalan kaki tinggi.

Selain itu, pertunjukan harian seperti ‘Brick of Prosperity, Lunar Beats Spectacular dan Finale of Fortune’ dijadualkan sepanjang sambutan bagi menambahkan lagi kemeriahan suasana perayaan.

Dalam pada itu, CS Lim memaklumkan, pihaknya optimis terhadap peningkatan jumlah pengunjung sepanjang cuti Tahun Baharu Cina, termasuk pelancong dari luar negara.

“Bukan sahaja Malaysia, banyak negara lain juga bercuti ketika Tahun Baharu Cina. Kami lihat peningkatan pengunjung dari Vietnam, Korea, Hong Kong dan Taiwan.

“Sasaran kami tahun ini adalah peningkatan lebih 20 peratus berbanding tahun lalu. Setiap tahun, kami memang mencatat peningkatan sekitar 10 hingga 20 peratus,” jelasnya. 

Bagi menambah keterujaan, Fortune Fest turut dianjurkan dari 17 hingga 22 Februari 2026 dengan tawaran hadiah set LEGO bernilai sehingga RM800 bagi pengunjung yang berbelanja RM188 ke atas dalam satu resit, dengan jumlah keseluruhan hadiah mencecah RM10,000. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN