fbpx
Gambar hiasan

Lahir 2 Januari hingga 31 Disember 2021 layak daftar Tahun 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mana-mana kanak-kanak yang kini berusia lima tahun ke atas selain lahir antara tempoh 2 Januari hingga 31 Disember 2021 boleh mendaftar bagi menduduki Tahun 1 pada tahun hadapan menerusi kohort enam tahun.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, selain itu, bagi kanak-kanak yang lahir antara tempoh 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021, mereka boleh mendaftar menerusi kohort tujuh tahun untuk kemasukan ke Tahun 1.

“Ketetapan ini selaras dengan keputusan kerajaan yang membuka peluang kepada kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 bermula 2027 secara sukarela dan tanpa perlu menduduki ujian saringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Susulan itu, Mohd. Azam berkata, pendaftaran murid Tahun 1 bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 akan dilaksanakan secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac depan.

Katanya, pendaftaran itu boleh dibuat melalui Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) di https://idme.moe.gov.my.

“Pendaftaran adalah terbuka kepada kanak-kanak warga Malaysia kohort enam tahun (berusia lima tahun ke atas) dan kohort tujuh tahun (berusia enam tahun ke atas),” katanya.

Semalam, kerajaan memutuskan ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid ke tahun satu pada usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027 tidak dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kebimbangan ujian berkenaan boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif terhadap kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN