KUALA LUMPUR – Maklumat siasatan kes serangan terhadap anak bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak akan didedahkan kepada umum.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengesahan secara terbuka termasuk di Dewan Rakyat dikhuatiri mengganggu proses siasatan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa pengesahan secara terbuka di dewan yang mulia ini (Dewan Rakyat) dikhuatiri akan mengganggu proses mengesan suspek serta boleh menjejaskan keselamatan saksi-saksi penting.
“Justeru, permintaan tersebut (didedahkan kepada Dewan Rakyat) tidak dapat dilaksanakan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan adakah Menteri Dalam Negeri akan mengesahkan secara terbuka hasil siasatan kes tersebut.
Dalam kejadian pada 13 Ogos tahun lalu, anak Rafizi yang berusia 12 tahun diserang seorang individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya.
Rafizi dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa, serangan itu mungkin satu amaran kepadanya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu.
Kata Rafizi, anaknya diheret seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan ketika ingin memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli-belah tersebut.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution memberi jaminan, keadilan akan ditegakkan tanpa kompromi dalam kes tersebut.
Menurut beliau, sebarang perkembangan lanjut yang boleh didedahkan kepada umum tanpa menjejaskan siasatan akan dimaklumkan melalui kenyataan rasmi KDN atau Polis Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE














