SEBERANG PERAI – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang lelaki etnik Rohingya, dua minggu lalu.
Tertuduh, Azli Ismadi Mat Saad, 32, dan P. Sanjay Kumar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mereka didakwa bersama empat individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan pisau dan melarikan seutas rantai emas, telefon bimbit jenama Realme GT dan wang RM3,000 milik mangsa.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Mertajam pada pukul 10.30 pagi, 13 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim. Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari untuk sebutan semula kes.
Semalam Kosmo! Online melaporkan polis menumpaskan sekumpulan penjenayah yang aktif menyamun warga asing dengan menyamar sebagai pegawai imigresen selepas menahan dua lelaki di Lembah Klang pada 18 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














