JOHOR BAHRU – Dua lelaki melecur pada muka dan badan selepas terlibat dalam kejadian letupan unit penyaman udara sebuah kontena di Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang di sini, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.51 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 50 dan 20 tahun dipercayai berada berhampiran kontena berkenaan ketika letupan berlaku secara tiba-tiba.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Nazarudin Yusof berkata, sejurusnya pihaknya menerima panggilan kecemasan, sepasukan 11 anggota digerakkan ke lokasi kejadian bersama aebuah jentera.
Katanya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, api daripada letupan unit penyaman udara kontena tersebut telah berjaya dipadamkan menggunakan sebuah alat pemadam api jenis debu kering.
“PKO segera menjalankan pemeriksaan keselamatan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada risiko bahaya susulan selain mengelakkan kejadian berulang.
“Bagaimanapun, letupan tersebut telah mengakibatkan dua mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan melecur di bahagian muka dan badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














