BERITA penangguhan hukuman penggantungan tujuh pemain warisan membuka peluang buat Harimau Malaya melunaskan misi serampang dua mata pada pada aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, Mac ini.
Kehadiran tujuh pemain warisan itu pastinya akan bawa nilai tambah kepada kualiti Harimau Malaya bagi merentap ego Vietnam yang sebelum ini kurang senang dengan kekalahan 0-4 pada perlawanan pertama di Bukit Jalil, Jun lalu.
Bekas pemain bola sepak negara, Datuk Richard Scully berkata, tanpa mengira apa situasi sebenar berkaitan isu pemalsuan dokumen, keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk menangguhkan hukuman penggantungan 12 bulan beri khabar positif kepada Harimau Malaya.
“Secara positifnya berita ini seakan hadir tepat pada masa memandangkan selepas ini kita akan menentang Vietnam di kelayakan Piala Asia 2027. Jadi, bagus apabila ada pemain berkualiti seperti tujuh pemain warisan berkenaan.
“Mereka (Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) yang buat aduan hingga tercetusnya kekalutan seperti sekarang. Di sini kita dapat lihat ada misi serampang dua mata yang boleh dilunaskan oleh Harimau Malaya.
“Pertamanya, kita ada skuad berkualiti untuk tampil dengan aksi terbaik dan keduanya pula kita berpeluang untuk ‘ajar’ Vietnam sekali lagi. Apabila ada penangguhan hukuman dan pemain ini boleh bermain, kini mereka (Vietnam) tidak ada lagi asas untuk buat aduan,” katanya.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini, badan induk bola sepak dunia itu mengesahkan VFF membuat aduan berkaitan kelayakan tujuh pemain warisan negara.














