KOTA TINGGI – Seorang pengurus dan operator kilang memproses kelapa sawit ditahan susulan kejadian pencemaran ulu Sungai Johor di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, di sini pada Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, dua suspek berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan pada pukul 9 malam semalam dan operasi kilang tersebut yang terletak di kawasan Layang-Layang, Kluang digantung serta-merta.
“Pemeriksaan di premis itu turut menemui pelanggaran serius apabila sistem pengolahan efluen gagal berfungsi dengan baik disebabkan struktur furrow (saluran efluen) dalam kawasan premis telah pecah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lesen operasi kilang turut digantung sehingga kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang alam sekitar. – KOSMO! ONLINE














