PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menegaskan tiada pertindihan penggunaan aplikasi imigresen seperti yang ditularkan di media sosial, khususnya melibatkan pelepasan imigresen melalui kemudahan autogate Kod QR.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pelaksanaan beberapa aplikasi berkenaan dibuat secara berfasa bagi memastikan kelancaran pergerakan di pintu masuk utama negara serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan imigresen kepada rakyat dan pelawat.
Menurutnya, MyNIISe dibangunkan sebagai platform tunggal untuk menyatukan semua urusan dan perkhidmatan imigresen di bawah satu aplikasi digital bersepadu, selaras dengan pelaksanaan National Integrated Immigration System (NIISe) yang akan menggantikan sistem legasi secara berperingkat.
“MyBorderPass pula merupakan sistem yang mula beroperasi sejak 2024 sebagai intervensi sementara dan ujian konsep bagi menangani isu kesesakan kritikal di pintu masuk utama negara melalui penggunaan autogate Kod QR terpilih.
“Pelaksanaan MyBorderPass bersifat taktikal bagi memastikan kelangsungan operasi sempadan sementara pembangunan dan integrasi penuh MyNIISe dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, MyDigital ID jelasnya berfungsi sebagai platform identiti digital kebangsaan yang berfungsi sebagai mekanisme pengesahan identiti digital atau (single sign-on) bagi memastikan akses yang lebih selamat dan sahih ke perkhidmatan kerajaan termasuk MyNIISe.
“MyDigital ID bukan aplikasi imigresen, sebaliknya berperanan sebagai gerbang keselamatan untuk pengesahan identiti pengguna dalam ekosistem perkhidmatan digital kerajaan,” ujarnya.
Zakaria menegaskan, pelaksanaan semasa adalah fasa peralihan bersifat sementara dan tidak menjejaskan kelancaran operasi pintu masuk, tahap keselamatan sempadan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.
Katanya, JIM akan meneruskan agenda pembaharuan dan penambahbaikan perkhidmatan imigresen berteraskan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mesra pengguna untuk manfaat rakyat serta keselamatan negara. – KOSMO! ONLINE














