SUNGAI PETANI – Polis mengesyaki kejadian seorang lelaki melecur selepas disimbah cecair dipercayai asid dekat sebuah stesen minyak di Jeniang, dekat sini pada Jumaat lalu adalah bermotifkan cemburu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, hasil siasatan awal terhadap suspek yang ditahan awal pagi tadi mendapati dia bertindak sedemikian kerana cemburu.
“Suspek mengesyaki mangsa yang merupakan seorang pekerja kantin di sebuah sekolah rendah di Jeniang telah menjalinkan hubungan dengan isterinya yang juga bekerja di tempat sama.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek selepas memperoleh perintah reman selama lima hari dari Mahkamah Yan pada pagi tadi,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi Jumaat lalu, mangsa melecur kira-kira 11 peratus di bahagian muka, leher dan dada akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid.
Kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek masing-masing berusia 36 tahun bertemu di hadapan sebuah stesen minyak di Jeniang untuk berbincang mengenai masalah membabitkan mereka.
Semasa perbincangan itu, suspek yang merupakan seorang pemandu lori dikatakan berang dengan mangsa yang enggan mengaku mempunyai hubungan dengan isterinya sebelum bertindak menyimbah cecair ke arah mangsa.
Mangsa yang terkena simbahan cecair mengalami kesan lecur di muka, leher dan dada, manakala suspek melarikan diri.
Menurut Hanyan, mangsa masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini akibat melecur.
Tambahnya, suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














